Korban Ibadat Sejagat
"Supaya mereka menyaksikan berbagai perkara yang mendatangkan faedah kepada mereka serta memperingati dan menyebut nama Allah, pada hari-hari yang tertentu, kerana pengurniaanNya kepada mereka dengan binatang-binatang ternak (untuk dijadikan korban); dengan yang demikian makanlah kamu dari (daging) binatang-binatang korban itu dan berilah makan kepada orang yang susah, yang fakir miskin.
Jenis binatang yang boleh dikorbanklan seperti lembu, kerbau atau kambing dengan dibaringkan binatang itu di atas tanah sebelah rusuk kirinya dan diikat kakinya, sementara kaki kanannya bebas lepas tanpa diikat supaya binatang itu dapat berehat dengan menggerakkan kaki kanannya itu. Sementara unta pula, sunat disembelih dengan didirikan binatang itu. Jika tidak mampu untuk disembelih dalam keadaan unta tersebut berdiri, maka sembelihlah dalam keadaan unta itu duduk.
Semasa saya di rumah sembelihan di Makkah, saya berpelunag melihat mereka yang bertugas menyembelih binatang. Kambing seekor diselesaikan hanya seorang pekerja dari sembelih sehingga lapah. Unta pula saya lihat mereka sembelih macam Samurai, Dengan badik(Pisau bengkok sepanjang 12in, ) dia lompat sambil memotong leher unta dan unta itu terus rebah sebelum fork lift angkut sembelihan tadi ke tempat proses.
Cara menyembelih binatang korban itu ialah dengan memotong kesemua halqum dan mari’ sehingga putus dengan alat yang tajam seperti pisau (bukan tulang atau kuku). Halqum itu ialah tempat keluar masuk nafas dan urat mari’ itu pula ialah tempat laluan makanan dan minuman yang terletak di bawah halqum.
Adalah wajib bagi orang yang menyembelih itu memotong halqum dan mari’ itu. Jika ditinggalkan sebahagian daripada halqum atau mari’ itu (belum putus) dan mati binatang tersebut dalam keadaan yang demikian, maka tiada sempurna sembelihan itu dan ia adalah dikira bangkai. Begitu juga jika telah berhenti gerak binatang yang disembelih itu padahal halqum atau mari’ belum putus, kemudian dipotong semula halqum atau mari’ yang tertinggal itu, maka yang demikian itu pun adalah menjadi bangkai (tidak boleh dimakan).
Disyaratkan binatang yang disembelih itu ada hayat mustaqirrah ketika mula-mula disembelih iaitu ia akan hidup jika tidak disembelih ketika itu. Di antara tanda adanya hayat mustaqirrah itu ialah kuat geraknya ketika dipotong halqum dan mari’nya, dan menyembur darahnya. Mengikut Imam An-Nawawi memadai dengan kuat geraknya ketika disembelih.
Ketika hendak menyembelih binatang korban, sunat dibaca seperti berikut:
الله أكبر، الله أكبر، الله أكبر ولله الحمد، بسم الله، اللهم صل على سيدنا محمد وآله وسلم، اللهم هذه منك وإليك فتقبل مني / فتقبل من
Maksudnya: Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, dan kepada Allah lah kembali segala pujian. Dengan Nama Allah. Ya Allah Ya Tuhanku kurniakan selawat dan rahmat keatas Sayyidina Muhammad dan sekelian keluarga Baginda. Ya Allah ya Tuhanku, Ini korban daripadaMu dan kembali kepadaMu, maka terimalah korban daripadaku (atau terimalah ia daripada ……)
Binatang yang panjang lehernya seperti unta, sunat disembelih di pangkal leher yang bawah (berhampiran dada) dengan memotong halqum dan mari’, kerana mengikut sunnah Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم. Yang demikian itu juga akan memudahkan roh binatang itu keluar. Sementara binatang yang pendek lehernya seperti lembu, kerbau dan kambing disembelih di hujung leher (yang atas).
HUKUM AGIH DAGING KORBAN.
Pendapat umum dan amalan orang Islam di Malaysia mengatakan daging korban tidak boleh diberi makan kepada bukan Islam. Namun, kita boleh merujuk kepada pendapat dikemukakan ulama mazhab lain dalam isu ini. Kita dapat mengesan pelbagai pendapat dengan hujah masing-masing. Melalui pendapat itu umat Islam mungkin dapat menemui jalan keluar daripada isu ini.
Penulis Kitab Kasyf al-Qina menyatakan mazhab Maliki berpendapat makruh memberi makan daging korban kepada orang Yahudi dan Nasara. Mazhab Hambali pula mengharuskan memberi hadiah daging korban sunat kepada bukan Islam, tidak harus menghadiahkan daging korban wajib kepada mereka.
Dalam al-Bajrimi dinyatakan tidak harus memberi makan daging korban kepada bukan Islam. Dinyatakan juga dalam Kitab al-Majmu` disebutkan harus memberi makan daging korban sunat kepada fakir miskin ahli zimmah, tidak harus memberi mereka makan daging korban wajib.
Al-Majmu' Syarh al-Muhazzab, disebutkan bahawa Ibn al-Munzir menyatakan ulama sepakat daging korban boleh diberi makan kepada fakir miskin Islam, namun mereka khilaf mengenai memberi makan daging korban kepada fakir miskin kafir ahli zimmah.
Imam Hasan al-Basri memberi keringanan mereka memakannya. Abu Thur juga berpendapat demikian. Disebutkan juga Imam Malik lebih suka ia diberi makan kepada selain fakir miskin bukan Islam. Al-Lith menganggapnya makruh, namun berpendapat jika dimasak harus diberi makan kepada mereka berserta fakir miskin Islam.
Ibnai Qudamah dalam al-Mughni wa al-Syarh al-Kabir dan al-Syarbini dalam al-Iqna' menyebutkan mazhab Maliki berpendapat makruh menghadiahkan dan memberi makan daging korban kepada orang Yahudi dan Nasrani.
Mazhab Hambali, al-Hasan, Abu Thur, berpendapat harus memberi hadiah dan memberi makan orang bukan Islam, kafir zimmi daging korban sunat, tetapi daging korban wajib, seperti korban nazar tidak harus.
Hukumnya sama dengan hukum zakat dan kifarat sumpah. Mazhab Syafie pula berpendapat tidak boleh memberi hadiah dan memberi makan orang bukan Islam daging korban sunat atau wajib.
Ibn Hazmin dari Mazhab Zahiriyah dalam kitabnya al-Muhalla menyatakan tuan punya korban boleh memberi makan kepada orang kaya dan orang bukan Islam atau dia menghadiahkan sedikit daripadanya.
Berdasarkan pendapat itu, kesimpulan yang boleh dibuat:
l Mazhab Syafie berpendapat haram memberi makan daging korban sunat atau wajib kepada bukan Islam.
l Mazhab Maliki berpendapat makruh memberi makan daging korban sunat kepada bukan Islam dan tidak harus (haram) memberi mereka makan daging korban wajib, seperti korban yang dinazarkan, sama seperti hukum zakat.
l Mazhab Hambali berpendapat harus menghadiahkan daging korban sunat kepada orang bukan Islam dan haram menghadiahkan kepada mereka daging korban wajib.
l Semua ulama mazhab sepakat (ijma') memberi atau memberi makan daging korban atau aqiqah wajib kepada bukan Islam adalah haram.
Ini bererti hanya ulama Mazhab Syafi`ie saja yang berpendapat daging korban sunat atau wajib tidak boleh (haram) diberi atau diberi makan kepada bukan Islam. Majoriti ulama lainnya berpendapat harus memberi mereka makan daging korban sunat, tidak harus jika korban wajib.
Daging korban tatawwu" (sunat) adalah sunat dimakan oleh orang yang berkorban, diberi hadiah dan disedekahkan kepada fakir miskin. Adapun untuk orang kafir di Malaysia maka hukumnya adalah harus akan tetapi keutamaan adalah kepada golongan miskin di kalangan orang Islam
Comments