SUNTIKAN VAKSIN SATU LANGKAH KE ARAH MENINGKATKAN INDUSTRI MAKANAN HALAL DI BALIK PULAU
SUNTIKAN VAKSIN SATU LANGKAH KE ARAH MENINGKATKAN INDUSTRI MAKANAN HALAL DI BALIK PULAU
Oleh : Pejabat ADUN Teluk Bahang
BALIK PULAU – Satu majlis menyuntik vaksin untuk pengendali makanan dan kedai makan di Balik Pulau telah diadakan dengan anjuran bersama Parlimen Balik Pulau, Dun Pulau Betong dan Dun Teluk Bahang.
Mengambil kesempatan dalam program tersebut, ADUN Teluk Bahang, YB Zolkifly bin Md Lazim menekankan tentang keperluan menjaga kebersihan dan kehalalan makanan yang dimasak. Ia bermula dengan mengambil suntikan vaksin yang bertujuan mengelakkan pengendali makanan daripada dijangkiti penyakit tifoid dan mencegah penularan kepada orang awam melalui makanan atau minuman.
Mengikut Peraturan 11, Peraturan Kebersihan Makanan 2009, pemilik premis makanan hendaklah tidak menggaji atau membenarkan mana-mana pengendali makanan bekerja di premisnya melainkan jika mereka diberi suntikan vaksin (pelalian anti-tifoid) oleh pengamal perubatan berdaftar. Suntikan tersebut adalah wajib dan melibatkan semua pengendali makanan, sama ada warga asing atau tidak.
Sebagai tempat yang menjadi lembah makanan terutamanya apabila tiba musim durian, Balik Pulau menjadi tumpuan pelancong seluruh negara yang ingin merasai keenakan durian dan makanan-makan yang berteraskan raja buah tersebut.
Atas dasar itu, Adun Teluk Bahang itu juga berpandangan program ini dilihat sebagai batu asas yang membantu membina karaktor peniaga kedai makan yang berimej baik, yang menjaga kebersihan dan status halal makanan serta dapat memberikan khidmat yang memuaskan kepada pelancong serta orang ramai yang datang berkunjung di sana.
Kata Adun tersebut lagi, “Dijangkakan 12.5 juta orang akan menggunakan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang pada tahun 2020 berbanding 4 juta pada tahun ini. Dan sudah tentu antara destinasi pilihan para pelancong dan orang ramai tersebut salah satunya adalah Balik Pulau. Ini adalah pasaran yang sangat berpotensi kepada para peniaga kedai makan untuk meningkatkan keuntungan.
Disebabkan itu, pihak pejabat Adun juga telah merancang projek untuk memperbaiki dan meningkatkan mutu kedai dan premis peniaga tersebut agar ia bertepatan dengan piawaian dan standard yang telah ditetapkan oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) selepas ini.”
Program ini yang dijalankan di Dewan Balora, Kongsi juga melibatkan ceramah oleh Bahagian Kesihatan MBPP. Ia adalah sebagai satu alternatif yang disediakan oleh pihak pejabat ADUN bagi memudahkan para peniaga di Balik Pulau yang sebelum ini terpaksa pergi ke Georgetown untuk urusan tersebut.
Pertemuan muhibbah pemimpin masyarakat di sini dengan kumpulan peniaga kedai makan tersebut berakhir dengan hidangan ringan sekitar jam 12.30 tengah hari.
Comments