Kesempatan Rasmi dan Menyampaikan Da'awah

 Makan Selepas Perasmian Bersama Ahli Majlis MPPP,
Pengerusi Persatuan Peniaga Kecil Teluk Kumbar

 Setiausaha Persatuan Peniaga Kecil Teluk Kumbar Sedang Membentang Lapurannya

 Apa Yang Lucu, 'Meniaga Buluh Kasap, Modal Hilang Untung Lesap'
 Ahli Sedang Rancak Mendaftar Sebelum Mesyuarat
Sebahagian Dari 170 Ahli Persatuan Yang Asyik Bermesyuarat


Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Alhamdulillah, marilah bersama-sama kita merufuk syukur kepada Allah kerana masih memberikan kesempatan berkelana di maya pada ini, mencari rezeki dan membina harapan ummah di negeri ini.

Terlebih dahulu, suka saya merakamkan ucapan terima kasih kepada pemimpin dan ahli Persatuan Peniaga Telok Kumbar kerana menjemput saya untuk bersama-sama pada majlis yang bermakna ini.

Saya difahamkan, persatuan ini disertai lebih 170 peniaga. Tahniah! Jumlah itu, bagi saya, suatu kekuatan yang besar sebenarnya.

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian,

Perniagaan adalah proses kehidupan. Kalau kita tak berniaga pun, kita tetap berurus niaga dengan peniaga untuk memenuhi proses kehidupan kita.

Sebab itu, perniagaan sebenarnya tidak akan terhenti selagi manusia itu hidup.

Sebab itu, secara logik, peniaga sebenarnya tidak rugi, tetapi mungkin belum sampai masa untuk menikmati keuntungan seperti mereka yang sudah berjaya dalam perniagaan mereka.

Islam melihat kaum peniaga sebagai golongan yang mulia. Rasulullah s.a.w pun ahli perniagaan dan keluar berniaga sejauh ke Syam (sekarang Syria).

Rasulullah s.a.w seorang yang amanah dan cukup toleransi ketika membawa barang perniagaan milik hartawan Khadijah binti Khuwailid, sehingga akhirnya baginda s.a.w sendiri dipinang oleh Khadijah untuk dijadikan suami.

Kreatif, amanah, toleransi serta mengutamakan kualiti perkhidmatan turut menyebabkan Rasulullah s.a.w sangat dihormati oleh pelanggan-pelanggannya.

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:

"Allah memberi rahmat-Nya kepada setiap orang yang bersikap baik ketika menjual, membeli dan membuat suatu kenyataan..." (hadith riwayat al-Bukhari)

Para hadirin sekalian,

Perniagaan juga sepatutnya dianggap sebagai ibadah dan dakwah. Para pendakwah sepatutnya menjadi ahli perniagaan. Dana, para peniaga yang beragama Islam sepatutnya belajar untuk berjinak-jinak dengan dakwah.

Lihat Imam Abu Hanifah atau nama sebenarnya Nu'man bin Tsabit al-Marzuban. Abu Hanifah adalah pengasas Mazhab Hanafi.

Abu Hanifah hidup pada era akhir Bani Umayyah dan awal Bani Abassiyah.

Dalam kesibukan mengembangkan ilmu-ilmu agama, pada waktu-waktu tertentu, Abu Hanifah akan keluar dari Kota Baghdad untuk berniaga kain. Perkembangan Fiqh Mazhab Hanafi banyak dipengaruhi oleh pengalamannya dalam berniaga.

Keilmuannya yang tiada tolok bandingan khususnya dalam bidang fiqh menyebabkan banyak kali Khalifah al-Manshur berhasrat untuk memberi jawatan penting kepadanya dalam kerajaannya, tetapi ditolak oleh Abu Hanifah dengan penuh hikmah.

Apa yang saya nak sebut di sini, Abu Hanifah boleh berbuat sedemikian (tolak hasrat Khalifah) kerana beliau seorang yang independent atau bebas (tidak perlu terikat dengan mana-mana pihak baik kerajaan, ahli politik atau sesiapa sahaja).

Macam kita di depan ini, semuanya peniaga. Kita tidak terikat dengan mana-mana majikan, ahli politik hatta kerajaan sebagai 'kita berniaga'. Kita semua, hebat!

Sebab itu, sekali lagi saya nak ulang, "Para pendakwah sepatutnya menjadi ahli perniagaan. Para peniaga yang beragama Islam sepatutnya belajar untuk berjinak-jinak dengan dakwah."

Kita perlu menjadi ahli perniagaan yang sukses macam Rasulullah s.a.w atau sekurang-kurangnya macam Abu Hanifah - independent atau  "tidak perlu terikat dengan mana-mana pihak baik kerajaan, ahli politik atau sesiapa sahaja."

Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang dihormati sekalian,

Terlanjur bercakap mengenai perniagaan, suka saya berkongsi mengenai 4 rahsia sukses berniaga yang saya amalkan:

Pertama - "Berniagalah dengan Allah"

Iaitu, dengan meletakkan niat bahawa perniagaan ini suatu ibadah, mencari rezeki yang halal serta keberkatan yang boleh dikongsi dengan ummah.

اِنَّ الَّذِيَْنَ يَتْلُوْنَ كِتٰبَ اﷲِ وَاَقََََامُوا الصَّلٰوۃَ وَاَنْفَقُوْا مِمَّارَزَقْنٰھُمْ سِرَّا وَّعَلاََ نِيَۃً يَّرْجُوْنَ تِجَارَةً لَّن ْتَبُوْرَ
لِيُوَفِّيَھُمْ اُجُوْرَھُمْ وَيَزِيْدَھُمْ مِنْ فَضْلِهۗ اِنَّه غَفُوْرٌ شَكُوْرٌِ
Firman Allah yang bermaksud:

"Sesungguhnya orang-orang yang selalu membaca kitab Allah dan tetap mendirikan solat serta mendermakan dari apa yang Kami kurniakan kepada mereka secara sembunyi atau secara terang-terangan, mereka (dengan amalan yang demikian itu) mengharap sejenis perniagaan yang tidak akan mengalami kerugian; supaya Allah menyempurnakan pahala (buat) mereka dan menambahkan mereka dari limpah kurnia-Nya..." (Surah al-Faathir: 29-30)

Kedua - "Kepercayaan adalah produk termahal"

Sungguhpun pelanggan membeli produk perniagaan kita, kita jualkan lah kepercayaan kepada mereka pada hari pertama mereka bertemu kita.

Ketiga - "Persaingan itu adalah persahabatan"

Sebelum belajar untuk bersaing dengan rakan-rakan perniagaan kita, bersainglah dengan diri dengan mencipta kreativiti, berfikiran terbuka, berperancangan strategik serta tidak takut dengan kegagalan.

Untuk sukses, Khadijah membina persaingan perniagaan dengan menjadikan Rasulullah sebagai 'sahabat'.

Pasar raya Low Yat di tengah-tengah Kuala Lumpur menjadi 'syurga membeli gajet-gajet teknologi kerana para peniaganya bersetuju untuk menerima persaingan sihat sehingga menggamit pengguna berganda.

Justeru, tak salah kalau kita nak bersaing secara sihat. Bahkan, tak salah sekiranya kita nak berdengki sesama kita secara sihat.

Sabda Rasulullah s.a.w:

"La hasada illa fi isnainin: rojulin aatahuLlah maalan fasalthohu 'ala halakatihi fil haqqi. Wa rajulon  aatahuLlah 'ilman fahuwa ya'malu buhi wa yu'allimuhu an-nasa..." (hadith mutafaqqun 'alaihi)

"Tidak hasad (yang dibolehkan)  kecuali pada dua perkara (iaitu): terhadap seseorang yang Allah menganugerahkan harta (kepadanya) lalu ia menggunakan harta tersebut pada jalan kebenaran; dan terhadap seseorang yang dianugerahkan ilmu (kepadanya) lalu ia mengamalkan ilmu tersebut serta diajarkannya kepada manusia lain (riwayat Bukhari & Muslim).

Keempat - "Keuntungan itu perak, keberkatan itu emas"

Berusahalah berniaga secara strategik, bersungguh-sungguh, fokus pada kekuatan produk atau perkhidmatan kerana aspek itu semua adalah anak kunci asas pada keuntungan.

Sesungguhnya di hujung pintu keuntungan yang diperoleh sebagaimana berniaga cara Rasulullah s.a.w atau sekurang-kurangnya cara Imam Abu Hanifah, adalah keberkatan. "Keuntungan itu perak, keberkatan itu emas"

Para hadirin sekalian,

Rata-rata kita selalu berfikir bahawa peniaga kecil seperti kita ini hanya boleh berniaga di pasar malam atau di bahu-bahu jalan sahaja, itupun dengan 'lampu hijau' MPPP.

Kalau kita pergi di Bangkok, Thailand, perniagaan kecil-kecilan dianggap sebagai produk pelancongan.

Kalau kita pergi ke sana, kita akan berjumpa pasar Chatuchak, iaitu satu kawasan rumpun peniaga-peniaga kecil.

Chatuchak adalah gedung pakaian, aksesori, kraftangan, perabot, barang-barang antik, pokok bunga, dekorasi serta buku dan sebagainya.

"Macam-macam ada" sehingga Chatuchak ini  menjadi salah satu produk pelancongan di Thailand.

Di Pulau Pinang, kita perlu merancang untuk membina  "Mini Chatuchak" sehingga diiktiraf sebagai produk pelancongan terbaru Pulau Pinang sungguhpun jika dibina di Telok Kumbar ini, maka ai sedikit di luar  "George Town Tapak Warisan Dunia Unesco".

Dari maklum balas yang saya terima, Persatuan Peniaga-Peniaga Pasar Malam Negeri Pulau Pinang (PPPMPP) pernah mencadangkan pembinaan  "Mini Chatuchak" di sebelah Hotel Sri Malaysia dekan Bayan Baru dalam satu pertemuan dengan Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Datuk Mansor Othman pada Mei tahun lepas.

Selain kita meninjau mungkin ada kawasan-kawasan lain yang lebih strategik di Teluk Kumbar ini, mungkin persatuan kita boleh cuba mengusahakan idea  "Mini Chatuchak"  ini demi manfaat bersama.

Para hadirin yang saya hormati sekalian,

Untuk makluman semua, Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang baru ini telah memperuntukan pinjaman perniagaan tanpa faedah atau micro kreadit Islam dengan dana permulaan sejumlah RM3 juta.

Nama projek ini adalah Projek Titian Saksama Rakyat (PTSR) bagi menggalakkan budaya berniaga di kalangan peniaga kecil dan golongan fakir.

Projek ini dikelola oleh Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) dengan kerjasama Universiti Sains Malaysia (USM).

Semua kita layak memohon PTSR ini di PDC dekat Bayan Lepas ini sehingga RM5,000 dan bayaran baliK maksimum dua (2) tahun. Info lanjut mengenai PTSR ini, boleh hubungi 04-6340182 / 0183 / 0151.

Saya menjadangkan kita di sini membuat pinjaman dan urus secara berkelompok sekiranya kita sudah mempunyai tapak yang sesuai untuk dibangunkan  "Mini Chatuchak" kelak.

Akhir kata, saya senantiasa berdoa supaya Allah memudahkan segala urusan niaga kita, biar sukses, biar barakah.

Saya merasmikan Mesyuarat Agung Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Peniaga Telok Kumbar.Dengan semua membaca Ummul Kitab, Al- Fatihah.

Sekian, wassalam.

Comments

Popular posts from this blog

Meriam Melayu Kesultanan Singora

Politik Tambah Bilangan

Terkafir kerana Anjing