PAS serah memo ke Kedutaan Amerika, bantah Israel


KUALA LUMPUR, 1 Jun: PAS hari ini menyerahkan satu memorandum ke Kedutaan Amerika Syarikat bagi mendesak negara itu menghentikan bantuan askar mereka kepada Israel untuk mencabul hak dan menzalimi rakyat Palestin.

Penyerahan memorandum tersebut diketuai Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa bagi mewakili Presiden, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Turut serta pada penyerahan itu termasuk Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar dan Salahudin Ayub, AJK PAS Pusat, Dr. Syed Azman Syed Ahmad Nawawi, Dr. Dzulkefly Ahmad serta Dr. Lo' Lo' Ghazali.

Memorandum serupa turut diserahkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang diwakili Naib Presidennya Mustafa Kamil Ayub, R.Sivarasa Rasiah dan disertai Pengarah Strategik Tian Chua, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar serta Ketua AMK, Shamsul Iskandar Mat Akin.

Manakala memorandum dari Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) diserahkan oleh Setiausaha Agungnya, Mohd Azmi Abdul Hamid.

Lebih 200 warga prihatin turut berhimpun menyatakan bantahan di hadapan bangunan kedutaan tersebut dengan membawa sepanduk bantahan dan poster mengecam tindakan biadab rejim Zionis Israel.

Penyerahan hari ini ekoran serangan berdarah tentera rejim Zionis Israel terhadap kapal Konvoi Bantuan Antarabangsa ke Gaza pagi semalam yang mengorbankan sekurang-kurangnya 20 orang sukarelawan yang menyertainya.

Memorandum itu juga turut mendesak Amerika supaya memaksa sekutu kuat mereka Israel meletakkan senjata dari terus meratah nyawa dan darah umat Islam Palestin.

Nasharuddin sewaktu bercakap kepada media mengecam sikap Amerika yang dilihat merestui tindakan Israel apabila hanya diam membisu biarpun askar-askar sekutu mereka itu melakukan pembunuhan kejam terhadap peserta konvoi tersebut.

Selain itu Israel dan Amerika, kerajaan Mesir juga ujar Nasharuddin, perlu dikutuk oleh seluruh negara di dunia ini kerana menjadi penyebab bantuan terpaksa diserah melalui jalan laut setelah negara itu menutup laluan darat di sempadan Rafah.

Sebagai tanda bantahan, Malaysia digesa memutuskan hubungan dengan Mesir serta-merta demi nyawa dan darah rakyat Palestin serta aktivis yang menjadi mangsa serangan tentera Israel.

"Kita mahu kerajaan Malaysia menyatakan sikap dan pendirian dan memberikan tekanan kepada kerajaan Mesir yang merupakan penyebab utama kegagalan masuknya barang-barang bantuan ke Gasa setelah sempadan Rafah ditutup oleh Mesir," katanya.

Selain itu juga kerajaan Malaysia perlu proaktif menggesa Persidangan Negara-negara Islam (OIC) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) agar segera bersidang.

Sementara itu lebih 50 ahli Pemuda Barisan Nasional berkumpul di ibu pejabat Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu di Jalan Dungun, Kuala Lumpur menyatakan kemarahan mereka.

Mereka juga memijak sebelum membakar bendera Israel sebelum menyerahkan memorandum yang mengecam tindakan Yahudi itu kepada penyelaras PBB di Malaysia, Kamal Malholtra.

Pada serangan ke atas kapal Mavi Marmara yang turut membawa 12 rakyat Malaysia pagi semalam, sekurang-kurangnya 20 aktivitis pro Palestin dibunuh manakala puluhan lagi cedera.

Kapal itu dan penumpangnya yang ditawan itu kemudiannya dibawa ke Haifa untuk dipenjarakan.

Sementara itu AFP yang memetik laporan radio awam Israel hari ini melaporkan sekurang-kurangnya 480 aktivis pro-palestin ditawan dan dihumban ke penjara Ashdod di selatan Israel.

Comments

Popular posts from this blog

Meriam Melayu Kesultanan Singora

Politik Tambah Bilangan

Terkafir kerana Anjing