UMNO Terus Desak Kelantan Laksana Judi


KOTA BHARU, 17 Mac: DAP hari ini menjelaskan aktiviti perjudian yang memerlukan premis seperti Magnun atau Nombor Ekor tidak lagi berbangkit sekarang kerana semua rakyat Kelantan sudah faham.

Ketua Pemuda DAP Kebangsaan, Anthony Loke Siew Fook berkata, semua bangsa di negeri ini telah menerima larangan kegiatan tersebut sudah melewati 20 tahun.

BN Khususnya UMNO sedia maklum, mahu melihat rakyat Malaysia merana dengan masalah perjudian dan keruntuhan moral dan ekonomi keluarga. BN sanggup mengkianati kerajaan Kelantan, dalam melaksanakan hal agama, dan susila. Terbaru UMNO sanggup menggunakan MCA sebagai wakil mereka bagi mendesak Kelantan menghalalkan judi, seperti negeri-negeri pemerintahan BN yang lain, dan Malaysia keseluruhan. Keadaan ini menarik YAB Tuan Guru Nik Abd Aziz, Menteri Besar Kelantan bertindak mempertahankan dasar Islam yang di persetujui bersama semua ketua-ketua Agama dan Ngo, sejak 1990 lagi.

Berikut adalah kenyataan penuh beliau.

SEBAGAIMANA semua pihak sedia maklum bahawa polisi pentadbiran kerajaan negeri Kelantan sejak 1990 adalah berteraskan prinsip pentadbiran Islam. Dalam isu pengharaman premis judi dan perjudian haram, kerajaan negeri sedia melaksanakan pematuhan kepada ajaran Islam yang tidak membenarkan penganutnya berjudi atau terlibat dengan sebarang aktiviti berkaitan perjudian.

Begitu pula, sebelum pelaksanaan penguatkuasaan larangan premis judi dan aktiviti perjudian dibuat pihak kerajaan negeri turut mengadakan perbincangan dengan pelbagai pihak di luar kerajaan. Antaranya berunding dengan badan-badan NGO dan wakil-wakil dari semua agama seawal 1991.

Hasilnya telah sepakat dan bersetuju dengan hujah bahawa perjudian wajar dilarang atas pendirian bersama bahawa perjudian memberi banyak keburukan daripada kebaikan dan mudaratnya sehingga boleh membawa seseorang itu menjadi muflis, mengalami kerosakan dan kehancuran kerukunan rumah tangga.

Perjudian melupakan ‘akal fikiran’ manusia, menyebabkan manusia hanya berserah kepada ‘nasib’. Apa kata kalau manusia menyerahkan kepada nasib semata-mata dalam semua aktiviti hidup? Pasti akan jahanam dan porak-peranda. Manakala perniagaan dihalalkan kerana berniaga mencetuskan aktiviti rasional manusia.

Sehubungan itu, pihak berkuasa tempatan telah diarah menggubal peraturan penguatkuasaan yang tidak membenarkan mana-mana premis menyediakan khidmat perjudian dan aktiviti berkaitan. Penguatkuasaan itu adalah selari dengan bidang kuasa kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan.

Adapun berbangkit isu larangan penjualan tiket-tiket loteri big sweep yang dikatakan tidak memerlukan premis tetap untuk dijual, maka dalam isu ini, pihak kerajaan negeri sedia menelitinya dan menyerahkan kepada legal adviser untuk melihat dari sudut perundangan yang ada.

Apa pun, pendirian kerajaan negeri ialah tetap menjaga kesucian ajaran Islam dan mendokong keluhuran undang-undang, selari dengan perlembagaan persekutuan. Natijahnya, apa sahaja bentuk perjudian pasti membawa lebih keburukan daripada kebaikan.

Berkaitan dengan apa yang dihebohkan oleh pemimpin parti politik tertentu yang mengungkit rasa tidak puas hati dengan polisi sedia ada kerajaan negeri berhubung penguatkuasaan larangan premis judi di Kelantan, pihak kerajaan negeri sedia menerima pandangan dan sedia memberi penjelasan.

Sehubungan itu, kerajaan negeri merakamkan rasa dukacita kerana pihak kerajaan pimpinan Umno-BN di peringkat Pusat sana adalah pihak berkuasa yang meluluskan pelbagai jenis lesen judi sehingga memerangkap umat Islam dan penganut agama lain.

Sekian. Terima kasih.

Tuan Guru Dato’ Bentara Setia Haji Nik Abdul Aziz Bin Nik Mat,
Menteri Besar Kelantan
Pejabat Menteri Besar Kelantan.
Kota Darulnaim,
Kota Bharu.
12 Rabiulakhir 1432/17 Mac 2011 (IH)

Comments

Popular posts from this blog

George Lafaz Syahadah Bawah Kilau Pedang Khalid Al Walid

Ritorik Ulama, Logik Profesional

Pengalaman Kenal Kawan dan Lawan